RAMALLAH: Kabinet baharu pihak berkuasa Palestin (PA), pada Ahad mengangkat sumpah di ibu pejabat Presiden, di sini.

Perdana Menteri, Mohammad Mustafa, telah membentuk kerajaan teknokratik untuk membantu membina semula Gaza.

Mustafa telah mengambil dua peranan dan juga akan berkhidmat sebagai Menteri Luar Negeri.

Seramai 23 menteri mengangkat sumpah semasa upacara, antaranya termasuk anggota gerakan Fatah, Presiden Mahmoud Abbas; Menteri Dalam Negeri, Ziad Hab al-Rih yang memegang portfolio yang sama dalam kerajaan terdahulu.

Abbas, yang telah menerajui PA selama hampir dua dekad dan kekal dalam kawalan keseluruhan mengumumkan kerajaan baharu pada Khamis.

Amerika Syarikat mengalu-alukan pembentukan kerajaan autonomi Palestin baharu, menandakan ia
menerima barisan Kabinet yang disemak semula sebagai langkah ke arah pembaharuan politik.

Pentadbiran Joe Biden telah menggesa untuk "menggiatkan semula" pihak berkuasa Palestin yang berpangkalan di Tebing Barat dengan harapan ia juga boleh mentadbir Gaza sebaik sahaja perang berakhir.

Tetapi kedua-dua Israel dan Hamas yang menghalau pasukan keselamatan Abbas dari Gaza dalam pengambilalihan 2007 menolak idea PA mentadbir Gaza.

Pihak berkuasa itu juga mempunyai sedikit sokongan atau legitimasi popular dalam kalangan rakyat Palestin kerana kerjasama keselamatannya dengan Israel di Tebing Barat. - Agensi